Belia Islam Masa Kini

|
Salam.
Kerisauan terhadap tingkah laku muda mudi zaman sekarang amat merisaukan.Tengok sajalah disekeliling kiter, kelakuan para pemuda pemudi yang menjadi tunjang harapan negara. Terlalai dengan pesona dunia yang tidak menjanjikan kebahagian berpanjangan.
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلاَ تَعْقِلُونَ

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?
Surah Al An'aam Ayat 32.
Jadi bacalah artikel dibawah dan berfikirlah.

Di petik dari laman web
http://www.inteam.com.my/article.php?sid=109

"Golongan muda adalah pelapis kepada kecemerlangan yang dirintis oleh generasi sebelumnya. Kelangsungan kecemerlangan bangsa akan berterusan sekiranya pelapis yang ada memahami akan peranan mereka yang sebenar dalam aliran pembangunan iaitu sebagai kelompok yang akan menentukan dan meneruskan nasib agama, bangsa dan negara.
Akan tetapi jika kita lihat kepada suasana yang melanda golongan muda dewasa ini, kita akan dapati ada segelintir di kalangan mereka yang seolah-olah tidak merasakan bahawa diri mereka penting atau mempunyai kepentingan kepada negara.

Jadi tak hairanlah kalau saban hari media massa menyiarkan tentang salah laku remaja dan belia. Gejala "mat rempit", penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas, perilaku tak berakhlak dan sebagainya merupakan contoh-contoh yang sering dikaitkan dengan salah laku golongan ini.
Memanglah ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan kita semua. Lebih menyedihkan lagi, sebahagian besar belia yang terlibat dengan salah laku ini adalah golongan belia Muslim.

Persoalannya sekarang, adakah belia Muslim tidak mempunyai ketahanan diri yang kuat sehinggakan mereka tidak lagi dilihat sebagai harta kepada negara, sebaliknya menjadi satu bebanan yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Tidakkah kita sebagai satu kaum yang diserasikan dengan ajaran Islam merasa malu atas apa yang melanda golongan belia ini? Adakah golongan belia itu sendiri mempunyai satu kesedaran bahawa mereka adalah harta negara yang tidak ternilai, justeru itu mereka perlu menghargaiya diri mereka dengan melakukan pengisian-pengisian yang bermanfaat dan berfaedah? Atau siapa yang patut disalahkan apabila belia kita tersungkur sebelum sempat mencapai usia kedewasaan yang sebenar dan seterusnya menyumbang kepada arus pembangunan negara?
Jika kita cuba bandingkan sumbangan belia pada zaman awal kemunculan Islam dengan belia yang ada sekarang terhadap pembangunan ummah, bezanya amat ketara sekali. Ketika Usamah bin Zaid berusia 18 tahun, beliau telah mengetuai angkatan tentera Islam untuk berperang dengan tentara Rom di bilad al-Sham. Akan tetapi pada usia belasan dan dua puluhan, ramai remaja hari ini yang mengenderai motorsikal dan membuat aksi-aksi yang bukan sahaja berbahaya kepada diri mereka malah kepada pengguna jalan raya yang lain juga.

Ketika kaum Quraysh mengepung rumah Nabi s.a.w, Sayyidina Ali bin Abi Talib mengambil iktibar bertukar tempat tidur dengan baginda bagi mengaburi musuh Islam dan seterusnya membolehkan baginda berhijrah ke Madinah. Bertitik tolak daripada penghijrahan ini agama Islam tersebar luas ke seluruh dunia. Akan tetapi, pada usia belasan tahun sepertimana yang pernah dilalui oleh Sayyidina Ali bin Abi Talib ini, ramai remaja Muslim kita yang menjadi hamba kepada dadah. Natijahnya kebanyakan penagih dadah adalah golongan belia Melayu.

Masih ingatkah lagi kita kepada peristiwa tunjuk perasaan pro demokrasi yang berlaku di Medan Tiananmen, China pada pertengahan 1989? Golongan pelajar bergabung dengan cendikiawan dan para aktivitis mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menuntut amalan demokrasi dilaksanakan di negara tersebut.

Tetapi hari ini, di negara kita beribu-ribu golongan muda lebih teruja untuk tampil di konsert-konsert hiburan. Malah seakan-akan menjadi satu aliran ikutan baru di kalangan muda mudi di negara kita untuk mencuba nasib dalam pelbagai pertandingan mencari bakat-bakat baru dalam bidang hiburan dan nyanyian.

Dengan kata lain, keghairahan belia sekarang lebih tertumpu kepada dunia hiburan dan pesona dunia semata-mata. Mereka tidak lagi mempunyai kesungguhan untuk mencapai kecemerlangan menerusi wadah pendidikan sebagaimana yang dicapai oleh Imam Shafi'e, Ibn Sina, Ibn Khaldun dan ramai ilmuwan Islam yang lain. Ketika Imam Shafi'e berusia 15 tahun, beliau sudah dikira layak untuk membuat fatwa, sedangkan dalam usia mentah sebegini, remaja kita masih lagi terkial-kial membentuk jati diri masing-masing serta masih leka dengan hiburan yang melalaikan.

Ibn Khaldun ada menyatakan bahawa antara tanda-tanda awal kemusnahan sesebuah tamadun ialah apabila kehidupan masyarakatnya penuh dengan hiburan dan perhiasan. Sejarah juga telah membuktikan bahawa sekuat mana bangsa tersebut, kalau tidak ditunjangi oleh budaya ilmu yang baik, ia akan hanya melakukan kerosakan di muka bumi ini dan suatu hari nanti pasti ia juga akan mengikut nilai tamadun bangsa lain.

Siapa tidak kenal Hulagu Khan mahupun Timurlan. Mereka adalah keturunan Genghiz Khan yang terkenal sebagai bangsa yang ganas dan kejam. Mereka diakui berjaya dalam penaklukan, akan tetapi mereka gagal dalam bidang peradaban lantaran tidak mempunyai asas keilmuan yang baik. Akhirnya, selepas melakukan kerosakan ke atas tamadun Islam, Hulagu dan Timurlan memeluk Islam.

Ini merupakan sesuatu yang luar biasa. Akan tetapi disebabkan ilmu merupakan teras sistem nilai agama Islam, maka ia mampu melembutkan hati musuh untuk memeluk agama yang benar ini.
Jadi adalah menjadi kekhuatiran kita jika para belia masa kini terus menyisihkan diri daripada unsur keilmuan di dalam kehidupan mereka dan berterusan menyintai perkara yang melalaikan, maka lambat laun mereka akan menjadi lebih mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang boleh memudarat agama, jiwa dan bangsa mereka.

0 comments: