Stop and Observe

|
Salam

Pembelajaran paling berharga adalah pengalaman.Aku teringat pada satu ketika, selepas SPM, takala semua sedang sibuk untuk masuk kelas memandu, aku teringat aku pernah memerah keringat di Pasar Tani dan Pasar Malam selama 6 bulan secara berterusan untuk mencari sesuap rezeki.

Ia bagaikan satu pembelajaran yang sangat berharga untuk aku berdikari.Sungguh, tugasan yang diberikan oleh arwah abah merupakan tugas melalui kepercayaan, pada mulanya, memang agak berat untuk arwah abah memberikan beberapa tugas yang sangat penting untuk mendirikan gerai, seperti contoh, untuk memasang payung untuk memberikan perlindungan yang maksimum kepada barangan jualan.Teknik memasang payung merupakan salah satu teknik yang agak penting. Ini memastikan, barang jualan tidak basah ketika hujan, tidak panas ketika matahari memancar, dan memberikan keselesaan total kepada pembeli dan penjual.Pada mulanya, aku tidak dibenarkan untuk memasang atau 'set up' payung, namun lama kelamaan aku dibenarkan atas kepercayaan.Kepercayaan yang dipupuk, merupkan satu amanah yang sangat berat.Cuba lihat pada kehidupan kini, terlalu banyak amanah yang dipegang, berapa banyakah yang mampu kita jalankan dengan baik?

Aku juga mula menjual barangan secara kecil -kecilan di samping gerai yang besar milik arwah abah.Dimulakan dengan duit lebih biasiswa dari MRSM, lebih kurang RM 100, aku mula menjual gula - gula dan coklat.Walaupun untungnya tidak lah lumayan, namun, seingat aku, aku mampu untuk berdikari membeli beberapa barangan idaman serta, aku menggunakan wang tersebut, sebagai wang belanja tambahan semasa aku mendaftar Matrikulasi dan A -Level. Aku mampu untuk mendapat untung bersih dalam Rm 20 -30 dalam satu kali perniagaan.Aku sangat - sangat menjaga dalam soal penggunaan wang secara berhemah dan tertib, kerana, aku pernah merasa bukan mudah untuk mendapatkan wang.

Sudah hampir 5 tahun aku meninggalkan tapak pasar tani, banyak kenangan yang membuatkan aku tersenyum dan sedih. Terlalu banyak usaha dan keringat yang dicurahkan oleh segenap manusia di situ, yang berjuang untuk mencari sesuap rezeki. Semangat untuk meneruskan kehidupan.Walaupun banyak perkara yang menekan, mereka terus bangkit untuk teruskan kehidupan.Ada diantara mereka merupakan golongan terpelajar, namun nasib tidak menyebelahi mereka untuk hidup dengan mudah.

P.S : Regime Mubarak dan Ben Ali ? Pernahkah mereka memikirkan nasib golongan dibawah? Adakah serupa yang berlaku di Malaysia?

0 comments: